Penjaga gol skuad England B-21, Angus Gunn, telah dipilih untuk bersama skuad senior bagi perlawanan persahabatan berdepan Brazil.

Gunn, yang dipinjamkan ke Norwich City daripada pendahulu Liga Perdana Inggeris, Manchester City, bermain selama 90 minit ketika skuad B-21 England melakar kemenangan 2-0 ke atas Ukraine.

Pemain berusia 21 tahun itu telah diberikan peluang untuk beraksi bersama skuad senior selepas penjaga gol Stoke, Jack Butland, mengalami kecederaan dalam sesi latihan.

Ketiadaan Butland memaksa pengendali pasukan, Gareth Southgate, memberikan peluang buat penjaga gol Everton, Jordan Pickford, beraksi ketika berdepan Jerman di Wembley, semalam.

Pickford mempamerkan aksi cemerlang dengan menepis beberapa percubaan Jerman dalam perlawanan yang berkesudahan 0-0 dan kini akan bersaing dengan Gunn dan Joe Hart untuk dipilih bagi aksi berdepan Brazil.

Southgate juga bakal membawa masuk beberapa pemain B-21 seperti Dominic Solanke, Demarai Gray dan Dominic Calvert-Lewin untuk perlawanan seterusnya.