Perancis telah memanggil pemain tengah Arsenal, Matteo Guendouzi, untuk menggantikan Blaise Matuidi yang mengalami kecederaan menjelang aksi terakhir kelayakan Euro 2020 bulan ini.

Bintang Juventus, Matuidi, dikenal pasti mengalami masalah di bahagian tulang rusuk sewaktu ujian perubatan dilakukan di Turin semalam selepas beraksi selama 70 minit ketika menewaskan AC Milan 1-0 dalam saingan Serie A kelmarin.

"Pemain tengah itu menjalani imbasan hari ini dan ia menunjukkan kesan retak tulang rusuk di bahagian rawan ke-10," kata wakil Juve.

"Malangnya, saya terpaksa tinggalkan pasukan," ujar Matuidi dalam laman Twitter peribadinya.

"Namun, saya yakin Perancis akan meneruskan kemaraan. Saya tidak sabar untuk kembali dalam saingan berikutnya."

Persekutuan Bolasepak Perancis (FFF) mengesahkan Guendouzi menyertai semua pemain di Clairefontaine semalam.

Juara dunia itu akan layak ke Euro 2020 daripada Kumpulan H jika mereka menewaskan Moldova di Paris, Khamis ini atau jika Iceland gagal mengatasi Turki.

"Kelayakan bukan sesuatu yang mudah buat Les Bleus," ujar pengurus, Didier Deschamps.

"Kami hanya mengutip satu daripada enam mata ketika berdepan Turki tetapi objektif utama kami adalah melayakkan diri.

"Sasaran kami adalah menamatkan saingan di tangga pertama tetapi ia bukan lagi dalam genggaman kami kerana keputusan menentang Turki. Namun, jika kami di tangga pertama sekalipun, tidak semestinya kami menjadi pilihan utama dalam undian pusingan akhir."

Perancis akan menamatkan saingan kelayakan dengan menentang Albania di tempat lawan, Ahad ini.