Pep Guardiola menegaskan Manchester City perlu lebih tajam di depan gawang jika mereka mahu menamatkan penantian kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

City meraih kemenangan 2-0 dalam perlawanan pertama pusingan 16 UCL menentang Borussia Monchengladbach di Budapest awal pagi tadi dengan Bernardo Silva dan Gabriel Jesus menemui sasaran dalam babak berbeza.

Biarpun dapat melihat pasukannya memaparkan dominasi yang hampir sempurna ketika meraih kemenangan ke-19 dalam kesemua kejohanan itu, Guardiola adakalanya kelihatan mempamerkan ekspresi kekecewaannya di tepi padang Arena Puskas berkenaan.

Bercakap kepada BT Sport selepas perlawanan, pengurus City itu memberikan amaran buat pemainnya bahawa mereka tidak boleh mengulangi kesilapan sama dalam memanfaatkan peluang, yang telah menjadi punca mereka tersingkir dalam suku akhir UCL bagi tiga musim berturut-turut sebelum ini.

"Secara keseluruhannya, ia persembahan yang bagus. Kami mengawal permainan dan hanya memberikan mereka satu peluang pada penghujung perlawanan.

"Malangnya, kami tidak cukup klinikal di bahagian depan -- dalam situasi satu lawan satu berdepan pertahanan dan penjaga gol.

"Ia sesuatu yang kami perlu perbaiki dalam kejohanan ini.

"Situasinya amat jelas -- situasi satu lawan satu ketika berdepan penjaga gol atau pertahanan dan kami langsung tidak dapat melakukan gelecekan.

"Dalam kejohanan ini, anda perlu menjadi sempurna untuk membolehkan anda layak," katanya.

Jesus dan Raheem Sterling antara yang menunjukkan keraguan mereka ketika berdepan peluang di depan gawang Galdbach dengan City hanya merekodkan empat percubaan tepat daripada sembilan yang dihasilkan sepanjang 90 minit perlawanan itu.

Tiga percubaan lain tersasar manakala dua lagi dihadang pemain lawan.

Kedua-dua gol itu tercetus hasil daripada umpanan menarik Joao Cancelo dari sebelah kiri dengan Silva menanduk masuk jaringan pembukaan pada minit ke-29.

Silva kemudian melakukan satu lagi tandukan ke bahagian tengah yang disudahkan Jesus selepas sejam permainan.

"Dia adakalanya perlu meningkat dan mengambil sedikit risiko di beberapa posisi tetapi dia telah memberikan sesuatu yang istimewa dalam proses permainan kami," kata Guardiola berkenaan Concelo.

"Fizikalnya amat kuat. Saya amat gembira dengan dua hantarannya yang menjadi bantuan di bahagian depan."