Pengendali Manchester City, Pep Guardiola, tidak mahu menerima sebarang tindakan disiplin daripada Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) apabila menolak untuk mengulas mengenai keputusan kontroversi pengadil ketika pasukannya menewaskan Hoffenheim 2-1, awal pagi tadi.

City meraih kemenangan pertama dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah musim ini selepas David Silva menjaringkan gol pada minit-minit akhir selepas Sergio Aguero memadamkan gol pendahuluan lawan daripada Ishak Belfodil.

Bagaimanapun, walaupun gol kemenangan Silva disumbat pada minit ke-87, juara Liga Perdana Inggeris itu dinafikan peluang meraih sepakan penalti walaupun Leroy Sane secara jelas dijatuhkan oleh penjaga gol Hoffenheim, Oliver Baumann.

Guardiola terpaksa menyaksikan anak-anak buahnya beraksi ketika aksi pembukaan Kumpulan F menentang Lyon dari bangku penonton susulan penggantungan yang diterima akibat perintah meninggalkan padang terhadapnya ketika perlawanan suku akhir bertemu Liverpool, musim lalu.

"Saya tidak mahu bercakap, saya tidak mahu, saya tidak mahu menyentuh soal pengadil," katanya.

"Saya mahu bersama pemain-pemain saya dalam perlawanan seterusnya.

"Saya tahu apa yang berlaku ketika berdepan Monaco di laman sendiri dan Liverpool musim lalu."

Sementara itu, dalam satu temu bual selepas perlawanan, Sane mendakwa Baumann turut mengakui dia bersalah dalam membuatkan pemain sayap itu jatuh.

"Saya bercakap dengannya selepas perlawanan dan dia berkata, 'ya, ia memang penalti'," ujar Sane.