Pep Guardiola tidak akan memberikan tempoh untuk berehat kepada Manchester di antara penghujung musim Liga Perdana Inggeris (EPL) dan pertembungan aksi Liga Juara-Juara (UCL) berdepan Real Madrid.

Saingan terbaik Eropah bakal menjadikan peluang terakhir City untuk menambah bilangan trofi musim ini selepas mempertahankan gelaran Piala EFL, berikutan kekalahan 2-0 kepada Arsenal dalam separuh akhir Piala FA.

Guardiola sangat kritikal terhadap persembahan pasukannya pada pembukaan 45 minit pertama dan mereka telah menjalani latihan intensif di padang latihan Kampus Etihad selama 12 hari bermula selepas tamat aksi berdepan Norwich City 26 Julai sehingga menerima kunjungan Real ke Manchester 7 Ogos ini.

City memiliki kelebihan agregat 2-1 hasil kemenangan dalam perlawanan pertama di Santiago Bernabeu Februari lalu dan menjelang aksi EPL berdepan Watford, Guardiola menolak cadangan dia akan memberikan rehat kepada pemain-pemain selepas tamat aksi domestik.

"Tidak sama sekali -- kami akan bermula berlatih selama dua minggu selepas tamat saingan EPL," kata Guardiola.

"Dua perlawanan terakhir ini akan memberikan rentak kepada pasukan dan bagi saya menilai barisan terbaik untuk diturunkan berdepan Real nanti."

Kritikan Guardiola terhadap mentaliti City ketika berdepan Arsenal hadir setiap kali dia menanggung kekalahan, namun dia tetap mempertahankan pemain-pemainnya.



Pengendali berusia 49 tahun itu bakal membuat rekod baru selepas tidak pernah mengendalikan mana-mana pasukan buat tahun kelima berturut-turut.

Guardiola berkata, "Ia merupakan cabaran bagi saya, saya tidak pernah bersama mana-mana pasukan lebih daripada lima tahun dan ia bakal menjadi cabaran baru buat saya. Adakah saya akan mampu untuk mempertahankan tahap yang sama seperti musim sebelum ini?

"Dalam dunia di mana semua orang memecat semua orang, sukar untuk kekal dengan satu kerja dalam tempoh yang lama.

"Ia bergantung kepada keputusan dan saya sangat berbangga dengan staf kejurulatihan serta pemain-pemain yang membantu saya untuk memasuki tahun kelima."