LEICESTER CITY 1 MANCHESTER CITY 1
(Manchester City mara menerusi sepakan penalti 4-3)


Pep Guardiola mengetepikan tanggapan bahawa skuad Manchester City kendaliannya mampu meraih empat gelaran musim ini selepas mereka menyingkirkan Leicester City 4-3 menerusi penentuan penalti berikutan seri 1-1 untuk mara ke separuh akhir Piala Liga Inggeris (EFL) di Stadium King Power, awal pagi tadi.

City kelihatan hampir memenangi perlawanan dalam tempoh sebenar permainan menerusi gol Bernardo Silva tetapi memasuki masa kecederaan, Leicester dikurniakan penalti kontroversi -- susulan Kyle Walker terperangkap dengan helah Demarai Grey.

Vardy mengambil kesempatan itu untuk mengikat kedudukan, seterusnya kedua-dua pasukan buntu untuk menambah gol sepanjang masa tambahan.

Penentuan penalti menyaksikan sepakan penyerang England itu terkena tiang gol manakala tendangan Riyad Mahrez digagalkan oleh Claudio Bravo.

Begitupun, Guardiola tidak fikir City akan meraikan empat kejayaan pada penghujung musim ini, dengan kelab itu masih dalam saingan Piala FA dan Liga Juara-Juara (UCL) selain sedang menguasai tempat teratas Liga Perdana Inggeris (EPL).

"Lupakannya," kata Guardiola kepada Sky Sports. "Itu tidak benar, itu tidak akan berlaku, tidak."

Jurulatih Catalan itu juga mencadangkan Leicester bernasib baik kerana telah dihadiahkan penalti. Dia menambah: "Televisyen tidak berbohong, kita boleh lihat jika ia penalti atau tidak tetapi kami mengatasi keadaan. Dalam bola sepak, kadangkala perkara-perkara seperti ini berlaku."

Pemain tengah Ilkay Gundogan -- yang mengambil tempat David Silva -- menambah City bernasib malang mengenai penalti itu sambil memuji kekuatan mental dalam barisan muda dan eksperimen.

"Perlawanan yang tidak mudah dan sukar menentang Leicester," tulisnya dalam laman sosial, Twitter.

"Anda diberi lapan minit tambahan masa dan satu penalti yang sangat malang. Bagi kebanyakan pasukan, sukar untuk mereka kembali ke landasan sebenar."