Pep Guardiola yakin Manchester City perlu menjuarai Liga Juara-Juara (UCL) untuk dianggap sebagai salah sebuah kelab terbaik dalam kejohanan itu.

Pengurus City itu berikrar ia juga tidak boleh dianggap sebagai "bencana" seandai pasukannya gagal meraih kejayaan di pentas Eropah sepanjang tempoh kendaliannya, tetapi mereka mula menghidu kejayaan selepas melewati pusingan 16 dengan menyingkirkan Real Madrid.

Dengan juara LaLiga itu sudah pun digulingkan manakala jaguh Serie A, Juventus, tersingkir awal pagi tadi, setiap pasukan yang layak ke suku akhir akan mendapati peluang yang lebih terbuka.

Lyon, pasukan yang melepasi Juve menerusi peraturan gol di tempat lawan, menjadi rintangan seterusnya awal pagi Ahad depan.

Pengurus kelahiran Sepanyol itu berkata dia akan berasa senang untuk membawa kejayaan UCL ke City sejak meninggalkan Bayern Munich selepas meraih kejayaan serupada pada 2009 dan 2011 ketika bertugas di Barcelona.

Dia sedar meskipun The Citizens menjadi sebahagian daripada saingan itu, masih ada langkah selanjutnya yang perlu mereka ambil.

"Anda harus menjulang gelaran ini untuk membina reputasi," katanya.

"Kami menumpaskan Real Madrid, tentu saja bagi kami itu sangat penting. Kami tahu reputasi, nilai dan prestij yang dimiliki Real.

"Mereka adalah sebuah kelab besar. Untuk bersaing dengan mereka, mengalahkan mereka sebanyak dua kali pada musim ini dan demi masa depan, ia sesuatu yang sangat bagus."

Guardiola bersetuju bahawa baki kejohanan itu, yang diadakan di Portugal, akan terasa seperti Piala Dunia.

Lapan pasukan terakhir akan menuju ke Lisbon untuk beraksi sekali dalam setiap pusingan kalah mati itu.

"Setiap perlawanan ketika ini dianggap seperti final. Sama ada layak atau tersingkir. Kami akan menyaksikan perlawanan akhir menentang Lyon," katanya.