LYON 2 MANCHESTER CITY 2

Pep Guardiola menyifatkan Lyon sebagai salah sebuah pasukan paling sukar yang pernah beliau hadapi selepas mereka mengikat Manchester City 2-2 dalam aksi Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi tadi.


Gol lewat Sergio Aguero mengesahkan City dalam pusingan 16, begitupun mereka dipaksa bekerja keras ketika menentang wakil Perancis yang berbahaya itu.

Ledakan berganda Maxwel Cornet meletakkan Lyon di landasan tepat untuk menjuarai Kumpulan F dengan baki satu perlawanan lagi yang menyaksikan Aymeric Laporte membatalkan gol pembukaan penyerang itu pada minit ke-55.

Bagaimanapun, hanya dua minit selepas jaringan kedua Cornet, City membalas sekali lagi -- Aguero melonjak tinggi untuk menyambut sepakan sudut lalu menghukum tuan rumah yang terlepas deretan peluang berharga pada separuh masa pertama.

Lyon mengejutkan City dalam pertemuan pertama peringkat kumpulan pada September lepas, jadi tidak hairanlah Guardiola menghamburkan pujian penuh selepas aksi berkualiti tinggi yang dipamerkan para pemainnya ketika menghadapi skuad kendalian Bruno Genesio itu.

"Kami sangat lega dan gembira," katanya kepada BT Sport.

"Mereka adalah salah sebuah pasukan yang paling sukar pernah saya hadapi. Mereka mempunyai kekuatan fizikal, mereka mantap dan serangan balas mereka cukup luar biasa.

"Orang mengatakan liga Perancis hanya berkisarkan Paris Saint-Germain (PSG), tetapi mereka silap.

"Dalam karier, saya sentiasa menghadapi wakil dari Perancis. Mereka begitu fizikal, itulah sebabnya mereka menjadi juara dunia. Mereka semua mempunyai kualiti, mereka tidak kehilangan bola, mereka sangat kuat dan pantas.

"Ia begitu rumit dan itulah sebabnya saya memberi banyak pujian kepada barisan pemain saya."

City memerlukan satu mata lagi dalam perlawanan terakhir mereka ketika menentang Hoffenheim dalam masa dua minggu lagi untuk mengesahkan kedudukan teratas.