Pep Guardiola meluluskan pelantikan ketua jurulatih baru Bayern Munich, menurut presiden kelab, Uli Hoeness.

Carlo Ancelotti, pengganti Guardiola di Allianz Arena, dipecat minggu lalu selepas permulaan hambar pada musim ini, dengan jurulatih Hoffenheim, Julian Nagelsmann, dan bekas bos Borussia Dortmund, Thomas Tuchel, berada dalam senarai untuk mengambil alih tugas itu.

Bagaimanapun, jurulatih veteran, Louis van Gaal, dilaporkan muncul sebagai pilihan jangka pendek.

Bekas jurulatih Bayern itu -- yang memimpin skuad Die Roten untuk kejuaraan Bundesliga dan DFB-Pokal pada 2009/10 -- tidak bekerja sejak meninggalkan Manchester United pada Mei tahun lalu.

Guardiola dihubungi oleh Hoeness berhubung rancangan kelab itu dan pengurus Manchester City berkenaan dilihat memberi kelulusannya.

"Saya memberitahu (Guardiola) siapa yang akan kami lantik dalam beberapa hari lagi," kata Hoeness kepada AZ. "Dia berpuas hati."

Bayern memenangi Bundesliga lima kali berturut-turut sebelum ini tetapi permulaan yang mengejutkan dalam kempen ini menyaksikan mereka ketinggalan lima mata di belakang Dortmund selepas tujuh perlawanan.