MANCHESTER CITY 2 NAPOLI 1

Pep Guardiola menghamburkan pujian terhadap persembahan sempurna skuad kendaliannya, Manchester City, selepas menumpaskan Napoli yang dianggapnya salah sebuah pasukan terbaik yang pernah dihadapinya.


Selepas City unggul dalam tempoh setengah jam -- meledak dua gol menerusi Raheem Sterling dan Gabriel Jesus -- mereka ditekan oleh pendahulu Serie A itu.

Penjaga gol, Ederson, menampan sepakan penalti Dries Mertens sebelum dibolosi oleh Amadou Diawara dengan situasi yang sama, namun City berjaya meraih tiga mata.

Guardiola percaya kemenangan seperti itu hanya dapat dirakamkan apabila pasukannya menonjolkan permainan tanpa cacat-cela di Stadium Etihad.

"Ia perlawanan yang hebat," katanya kepada BT Sport.

"Kedua-dua pasukan mempunyai idea yang sama, memberi tekanan tinggi, banyak melakukan hantaran dan melancarkan serangan.

"Napoli merupakan sebuah pasukan terbaik yang pernah saya hadapi dalam karier. Tidak syak lagi. Mungkin yang terbaik.

"Ia aksi sempurna. Jika kami gagal beraksi baik, kami tidak berpeluang mengalahkan mereka. Ia akan menjadi mustahil. Kalau kami tidak agresif tanpa bola, tidak tahu apa yang mahu dilakukan tanpa bola, maka kami tidak berpeluang.

"Kami bertemu sebuah pasukan yang tidak akan memberi ruang untuk menyimpan bola sepanjang 90 minit. Kami mahu mengawal permainan tetapi mereka mempunyai kualiti. Ia satu tuntutan yang tinggi.

"Untuk meraih sembilan mata dalam tiga perlawanan cukup penting buat kami untuk terus mara. Kumpulan F ini sungguh mencabar. Shakhtar Donetsk beraksi dengan baik -- kami telah menyaksikannya di sini dan mereka juga adalah pasukan yang mantap."

City kini hanya memerlukan satu lagi mata di San Paolo untuk mengesahkan kelayakan ke pusingan kalah mati, namun Guardiola menegaskan mereka akan tetap memburu kemenangan di sana.

Tambahnya: "Kami akan turun beraksi untuk cuba meraih kemenangan di Napoli. Kami sudah hampir tetapi belum selesai. Kami tidak boleh bersenang lenang," katanya lagi.