MANCHESTER CITY 3 OLYMPIACOS 0

John Stones memperagakan satu persembahan "hampir sempurna" ketika memulakan aksi pertamanya bersama Manchester City selepas berehat lebih sebulan, menurut Pep Guardiola.


Stones digandingkan dengan Nathan Ake di pusat pertahanan ketika The Citizens menundukkan Olympiacos 3-0 di Stadium Etihad, awal pagi tadi, untuk mencatat kemenangan di peringkat kumpulan Liga Juara-Juara (UCL).

Pasukan asuhan Guardiola itu mengekang wakil Greece berkenaan daripada melancarkan percubaan sambil jaringan Ferran Torres, Gabriel Jesus dan Joao Cancelo membantu City memperoleh tiga mata.

Justeru, kelibat Stone menggembirakan pengurusnya itu.

"Musim lalu kami tidak memiliki cukup pemain apabila mengalami mimpi buruk berdepan krisis kecederaan," katanya kepada BT Sport.

"Ia satu persembahan sangat baik, lebih-lebih lagi Nathan diturunkan di samping John sejak awal permainan. Dia kembali ke tahap sebenarnya dengan menonjolkan persembahan yang luar biasa -- hampir sempurna -- dan ia bukan mudah memandangkan anda sudah lama tidak beraksi.

"Saya sangat gembira atas kekuatan mentalnya, dia beraksi dengan sangat baik."

Guardiola juga menyambut kepulangan Jesus Navas, yang hanya membuat penampilan kedua musim ini ketika dimasukkan sebagai pemain gantian dalam separuh masa kedua.




Pemain antarabangsa Brazil berusia 23 tahun itu meledak satu gol menuju baki 12 minit permainan untuk menggandakan kedudukan City -- detik yang pada pandangan Guardiola sebagai titik tolak perlawanan berkenaan.

"Kami beraksi dengan luar biasa dalam babak pertama, sayangnya kami tidak dapat menyumbat lebih banyak gol tetapi permainan kami sangat baik," katanya lagi.

"Dalam separuh masa kedua kami agak bergelut untuk beberapa ketika dan apabila gol kedua menyusul, permainan seakan sudah berakhir. Kami sedikit bergelut ketika memburu gol kedua tetapi akhirnya menerusi sentuhan luar biasa Gabriel dan Joao, kami dapat membunuh permainan ini.

"Secara amnya ia adalah berita baik buatnya dan bagi kami, Gabriel sudah kembali. Ia adalah aksi yang sangat baik terutama babak pertama, dan punca kami bergelut sedikit adalah kerana kami buntuk untuk mendapatkan gol kedua."

Menjelang perhitungan dengan juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool, di Stadium Etihad Ahad ini, Guardiola menambahkan: "Ini masa yang tepat. Kami akhirnya mempunyai empat atau lima hari untuk pulih dengan baik dan membuat persiapan bagi menghadapi Liverpool dan rehat antarabangsa selain memberi fokus ke EPL. "