Guardiola: City belum sedia julang Liga Juara-Juara

Oleh Penulis Jemputan 21 Oktober 2019 443
Guardiola: City belum sedia julang Liga Juara-Juara
Manchester City masih belum bersedia untuk menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah, kata pengurus pasukan itu, Pep Guardiola.

City memberikan respons terhadap kekalahan kepada Wolves sebelum waktu rehat antarabangsa lalu dengan menewaskan Crystal Palace 2-0 awal pagi semalam.

Juara dua musim berturut-turut Liga Perdana Inggeris itu ketinggalan enam mata di belakang pendahulu, Liverpool, menjelang perlawanan menentang Atalanta dalam Liga Juara-Juara awal pagi Rabu ini.

Selepas menguasai bola sepak Inggeris, City berhasrat untuk menakluki Eropah, namun Guardiola percaya pasukannya masih terlalu jauh untuk menjulang trofi Liga Juara-Juara.

"Mereka memperkatakan tentang Liga Juara-Juara, tentang sasaran itu. Kami masih belum bersedia," kata Guardiola, yang pasukannya terkandas di peringkat suku akhir dalam dua musim lalu.

"Kami mencipta banyak, tidak dibolosi tetapi masih boleh meningkat.

"Kami menjaringkan banyak gol sepanjang dua musim lalu dan saya tidak memiliki sebarang keraguan tentang itu, namun kami perlu meneruskannya dan berusaha untuknya," katanya.

Gabriel Jesus menjaringkan gol kemenangan di Selhurst Park di mana penyerang Brazil itu menjaringkan golnya yang ke-50 sejak menyertai City daripada Palmeiras pada 2017.

"Dia (Jesus) akan mempunyai karier yang panjang dan dengan mentalitinya, dia akan berjaya," tambah Guardiola.

"Dia sentiasa bernafsu, dia akan menjadi penyerang penting di serata dunia dan kami bertuah kerana memilikinya.

"Gabriel sentiasa bagus sejak dari mula.

"Malangnya, dia berdepan dua kecederaan serius.

"Musim lalu amat sukar untuknya selepas Piala Dunia, ia bukan mudah tetapi dia amat tabah.

"Dia pemain nombor sembilan Brazil. Kelab ini membawa masuk pemain muda yang luar biasa dengan harga yang luar biasa.

"Dia salah seorang pembelian terbaik kami.

"Untuk bersaing dengan Sergio (Aguero) mungkin perkara paling sukar.

"Sergio seorang legenda, pemain yang luar biasa dan amat hebat, namun Gabriel amat tenang.

"Dia seorang pesaing, dia menerima setiap keputusan dan dalam setiap sesi latihan, dia berusaha bersungguh-sungguh.

"Namun, dia masih muda dan masih boleh meningkat," tambahnya lagi.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen