Antoine Griezmann tidak kesal dengan dokumentari 'La Decicion (keputusan)' yang diterbitkan semata-mata untuk mendedahkan dia menolak tawaran Barcelona tahun lalu dan yakin dia boleh membaiki hubungan yang terjejas itu menerusi aksi bersama Blaugrana di lapangan.

Barca pernah dikaitkan dengan Griezmann pada 2018, malah dilaporkan telah mencapai persetujuan dengannya sehingga mendorong Atletico Madrid untuk membuat laporan kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berkenaan tindakan kelab Catalan itu pada akhir 2017.

Berita perpindahan yang berpanjangan itu akhirnya lenyap sejurus dokumentari berkenaan diterbitkan -- Griezmann mengumumkan keputusan sama ada untuk berpindah atau kekal di Madrid menerusi rakaman yang dihasilkan syarikat Gerard Pique -- dengan memutuskan untuk kekal dan menandatangani kontrak baru selama lima tahun di Atletico.

Bagaimanapun, selepas 13 bulan, dia menyarung jersi Barca selepas juara LaLiga itu menebus klausa pelepasan kontraknya dengan kos €120 juta (RM555.5j), Jumaat lalu.

Griezmann menerima kritikan hebat mengenai dokumentari tersebut dan sempat ditanya mengenainya dalam sidang berita di Camp Nou, semalam.

"Saya telah melakukan beberapa perkara buruk pada masa lalu dan saya tidak pernah menyesal kerana ia sesuatu yang saya mahu buat ketika itu," katanya kepada pemberita.

"Saya mahu menunjukkan apa yang tidak terlihat dan saya tidak mempermainkan kedua-dua pihak. Perkara paling penting adalah kami kini sudah bersatu. Anda perlu meminta maaf dengan usaha di atas padang."

Apabila ditanya sama ada Luis Suarez dan Lionel Messi mungkin berang dengannya, Griezmann menjawab: "Boleh jadi, tetapi saya fikir dengan bantuan yang boleh saya hulurkan kepada mereka, kami boleh membetulkan segala-galanya."

Memandangkan di antara dokumentari itu dengan penghijrahannya ke Barca berlaku dalam tempoh yang singkat, lebih-lebih lagi apabila dia menandatangani perjanjian lima tahun dengan Atletico tahun lalu, bagi Griezmann ia cukup mudah -- dia belum bersedia untuk berpindah pada 2018.

"Saya perlu membawa keluarga," katanya. "Ketika melihat isteri saya yang merupakan dunia saya, jadi ketika itu saya belum bersedia untuk membuka langkah tetapi tahun ini adalah berbeza.

"Sukar untuk meninggalkan tempat di mana kami berasa selesa dengan keluarga dan rakan-rakan, ia sesuatu yang sukar. Saya amat mengagumi dan menghormati Atletico.

"Saya mahukan cabaran baru, cuba memperbaiki diri sendiri dan tidak berasa selesa. Saya mahu merebut tempat di kelab hebat dan cuba memenangi tiga gelaran."