ATLETICO MADRID 3 CLUB BRUGGE 1

Pengendali Atletico Madrid, Diego Simeone, menyifatkan penyerangnya, Antoine Griezmann, sebagai pemain terbaik di dunia.


Penyerang antarabangsa Perancis itu mempamer aksi menakjubkan selepas membantu kemenangan 3-1 Atletico ke atas Club Brugge dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah, awal pagi tadi.

Dia menjaringkan dua gol sebelum menghasilkan satu umpanan menarik yang disudahkan Koke untuk skuad kendalian Simeone itu mengekalkan dua kemenangan berturut-turut dalam saingan Kumpulan A.

Griezmann sebelum ini turut dikaitkan dengan perpindahan ke Barcelona, namun dia membuat keputusan untuk kekal bersama Atletico sebelum saingan Piala Dunia lalu.

Dua jaringan ke atas juara Belgium itu menyaksikan Griezmaan kini menjaringkan empat gol daripada dua perlawanan Liga Juara-Juara.

"Saya katakannya musim lalu dan hari ini saya katakannya sekali lagi, dia adalah pemain terbaik dunia," kata Simeone.

"Dia memenangi Liga Europa, Piala Dunia, Piala Super UEFA dan menamatkan liga di kedudukan kedua.

"Dia berada di mana yang dia inginkan. Dia memilih untuk kekal di sini dan ia berhasil. Dia menikmati setiap saat bermakna dalam kariernya," tambah pengendali tersebut.

Atletico gagal melepasi peringkat kumpulan Liga Juara-Juara musim lalu. Mereka hanya meraih satu kemenangan daripada enam perlawanan.

Griezmann sedar tanggungjawabnya kini adalah untuk memastikan kegagalan tersebut tidak berulang.

"Tahun lalu, saya tidak beraksi baik. Saya rasakan kegagalan kami adalah berpunca daripada saya," kata Griezmann kepada UEFA.com.

"Kami tidak dapat gambarkan apa yang akan berlaku musim ini tetapi saya kini berasa baik dan gembira dengan prestasi saya.

"Menjaringkan dua gol akan sentiasa memberikan kegembiraan. Ia memberikan anda keyakinan dan saya harapkan saya mampu mengekalkan perasaan itu," tambahnya.