BELANDA 0 PERANCIS 1

Penyerang Perancis, Antoine Griezmann, gembira dengan persembahan rakan sepasukannya, Paul Pogba, selepas pemain tengah itu menyumbat gol kemenangan ke atas Belanda dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2018, awal pagi tadi.

Pogba, yang dihujani kritikan kerana gagal mempamerkan aksi memberangsangkan ketika Euro 2016 sehingga bermulanya musim bersama United, melepaskan rembatan deras dari luar kotak penalti pada minit ke-30 untuk membantu pasukannya menang 1-0.

Griezmann memuji persembahan Pogba dan percaya dia akan terus menjadi lebih mantap selepas ini.

"Saya gembira untuk dia," kata Griezmann.

"Dia mengulangi persembahannya ketika bertemu Bulgaria, kecuali kali ini, dia mempunyai sasaran -- untuk menjaringkan gol. Pogba akan menjadi bualan utama dalam surat khabar esok.

"Saya berharap dia akan mendapatkan sokongan daripada pihak wartawan."

Kemenangan itu meletakkan skuad bimbingan Didier Deschamps sebagai pendahulu Kumpulan A dengan tujuh mata.

Griezmann berkata, "Kami mahu mendapatkan tiga mata penuh di Amsterdam.

"Kami telah bermain dengan baik dalam separuh masa pertama, kemudian kami bertahan pada baki perlawanan."