Penyerang Perancis, Antoine Griezmann, mempertahankan Paul Pogba selepas satu lagi aksi mengecewakan ditampilkan oleh pemain tengah tersebut, semalam.

Pogba gagl untuk memberikan kesan dalam perlawanan itu tetapi skuad kendalian Didier Deschamps tetap berjaya meraih kemenangan 4-1 ke atas Bulgaria dalam aksi kelayakan Piala Dunia.

Griezmann, yang menjaringkan satu gol dan membuat satu bantuan gol, meminta agar semua kekal tenang dengan prestasi pemain Manchester United itu.

"Pogba memerlukan sokongan dan dorongan," katanya kepada L'Equipe. "Dia mencuba untuk melakukan yang terbaik dan telah memberikan segala-galanya.

"Dia menampilkan permainan yang berbeza ketika bersama [bekas kelab] Juve, Manchester dan di sini."

Perancis ketinggalan menerusi penalti Mihail Aleksandrov ketika aksi di Paris tetapi dua gol daripada Kevin Gameiro serta masing-masing satu gol daripada Griezmann dan Dimitri Payet, memastikan mereka memperoleh kemenangan selesa.

Griezmann berkata apa yang dia mahu lihat daripada pemain berusia 23 tahun itu adalah sumbangannya kepada pasukan.

"Apa yang kami mahukan adalah dia bermain untuk pasukan," katanya. "Bukan mahu melihat dia menjaringkan gol dari jarak 50 meter."

Kemenangan Perancis itu menyaksikan mereka kini berada di kedudukan kedua Kumpulan A untuk kelayakan, berkongsi mata dengan Belanda dan Sweden.