Ronald Koeman mempertahankan Antoine Griezmann tetapi berkata hanya jaringan akan menjadi "penawar terbaik" untuk mengembalikan keyakinan bintang Barcelona itu.

Kali terakhir Griezmann menjaringkan gol adalah ketika menentang Ferencvaros dalam Liga Juara-Juara Eropah (UCL) pada 2 Disember lalu dan dia hanya menghasilkan tiga gol daripada 16 penampilan LaLiga musim ini.

Kunjungan ke Los Carmenes bagi pertemuan dengan Granada awal pagi esok mampu membantu pemain kebangsaan Perancis itu, yang telah terlibat dengan empat jaringan (tiga gol dan satu bantuan) sepanjang lima kunjungannya ke laman itu dalam LaLiga.

Ketua jurulatih Barcelona, Koeman, berkata ketika Griezmann kini sedang berusaha keras, jaringan gol merupakan perkara terbaik buat pemain berusia 29 tahun itu.

"Mana-mana pemain memerlukan keyakinan diri, rakan sepasukan dan tempat untuk dia bermain. Ia bermula dengan pemain itu sendiri," katanya dalam sidang media.

"Sebagai jurulatih, saya boleh berkomunikasi dengan Griezmann, menunjukkannya beberapa perkara dan rakaman perkara berpotensi untuk ditingkatkan.

"Tetapi pada akhirnya, pemain itu sendiri perlu menunjukkan kualitinya dan memberikan keberkesanan kepada pasukan.

"Kesnya bukan Antoine tidak berusaha, dia berusaha keras dalam setiap posisi. Sebelum ini, dia banyak mendapatkan bola, dia membantu jaringan Leo (Messi).

"Tetapi ia masanya untuk dia menjaringkan gol kerana jaringan gol adalah penawar terbaik untuk mendapatkan kembali keyakinan diri," katanya.

Griezmann hanya menyudahkan 22.2 peratus daripada peluang terbaiknya dalam LaLiga musim ini, rekod terendahnya dalam mana-mana kempen sekurang-kurangnya sejak musim 2012-13.



Barcelona kini berada di tangga keempat liga dengan tujuh mata di belakang pendahulu, Atletico Madrid, yang mempunyai kelebihan dua perlawanan dalam tangan.