PERANCIS 0 FINLAND 2

Antoine Griezmann mengakui Perancis perlu belajar daripada kekalahan mengejut 0-2 kepada Finland menjelang perhitungan dengan Portugal, hujung minggu ini.

Rekod 12 perlawanan tanpa kalah juara dunia 2018 itu lebur dalam perlawanan persahabatan di Stade de France, awal pagi tadi, susulan jaringan daripada pemain berusia 21 tahun yang membuat kemunculan pertama, Marcus Forss, dan Onni Valakari dalam tempoh tiga minit separuh masa pertama.

Kemenangan yang dilakar Finland itu adalah yang pertama ke atas Les Bleus selepas sembilan percubaan, tetapi ini mungkin kisah yang berbeza di Paris di mana pasukan bimbingan Didier Deschamps tersebut gagal memanfaatkan deretan peluang awal.

Rembatan Marcus Thuram, yang diberi kemunculan penuh di peringkat antarabangsa, singgah di palang gol selain dia melepaskan rembatan liar biarpun tidak dikawal dari jarak dekat sebelum Finland memecah kebuntuan perlawanan.

Deschamps membuat lapan perubahan berbanding ketika mereka menang ke atas Croatia bulan lalu, antaranya Griezmann yang keluar dari bangku simpanan, tiga hari sebelum pertemuan getir saingan Liga Negara-Negara (UNL).

Perancis melancarkan 24 percubaan tepat tetapi tumpul dan kali terakhir gagal merakam sebarang jaringan adalah ketika berdepan Luxembourg pada September 2017, lantas penggempur Barcelona itu menggesa rakan sepasukannya supaya lebih berbisa di depan pintu gol.




Dia berkata kepada M6: "Kami mempunyai dua atau tiga peluang melalui Marcus. Jika dia menyudahkannya, perlawanan ini pasti akan berbeza. Kami perlu menilai kesilapan-kesilapan yang dilakukan dan fokus kepada perlawanan Sabtu ini (awal pagi Ahad).

Thuram berada di puncak prestasi untuk diberi peluang pertama, jadi dia berharap terus diberi kesempatan bagi membuktikan kemampuannya di pentas antarabangsa.

"Memang benar bahawa ia adalah separuh masa pertama yang baik. Pasukan Finland telah bersatu padu dengan sangat baik," kata penyerang Borussia Monchengladbach itu.

"Saya banyak belajar dengan pemain lain agar dapat menimba banyak pengalaman dengan secepat mungkin."