Griezmann pemain yang lengkap -- Simeone

Oleh Staff Writer 13 April 2017 524
Griezmann pemain yang lengkap -- Simeone
Diego Simeone menjulang Antoine Griezmann sebagai pemain yang lengkap selepas bintang Perancis itu mengesahkan kemenangan 1-0 Atletico Madrid ke atas Leicester City dalam aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

Anak buah Simeone bakal bertandang ke Stadium King Power dengan bekalan satu gol minggu depan selepas Griezmann menyempurnakan sepakan penalti kontroversi untuk golnya yang ke-24 musim ini.

Bagaimanapun, sumbangan keseluruhan pemain itu sehingga memaksa Leicester mengubah strategi dengan bertahan, mendapat pujian Simeone.

"Griezmann seorang pemain yang menakjubkan," Simeone memberitahu sidang media.

"Dia pemain yang lengkap. Kamu tidak tahu posisi sebenarnya. Dia bekerja keras seperti pemain tengah, melakukan hantaran seperti pemain jersi no.10 dan melakukan penyudah bagaikan pemain penyerang.

"Dia sedar musim ini sangat penting dalam kariernya, dan dia menggalas tugas itu dengan baik."

Menyedari kemenangan 1-0 belum cukup untuk Atletico menarik nafas lega, Simeone mengakui aksi timbal balik bakal menjanjikan persaingan berbeza.

"Kemenangan ini bukan mudah tetapi aksi suku akhir kedua bakal menjadi lebih sengit," tambahnya.

"Kami menjangkakan perlawanan sengit dari Leicester -- senario bola sepak di England bakal menjadikan pertemuan kedua lebih hebat."

 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen