Antoine Griezmann berkata dia menangis kegembiraan selepas melengkapkan perpindahannya ke pasukan juara LaLiga, Barcelona.

Griezmann meninggalkan Atletico Madrid untuk menyertai Barca selepas gergasi Sepanyol itu melengkapkan pembayaran €120 juta (RM554 juta) sebagai klausa pelepasan untuk mendapatkannya.

Ia sekali gus menamatkan spekulasi panjang mengenai perpindahan penyerang berkenaan, yang sebelum itu mengumumkan akan meninggalkan Atletico selepas lima tahun mencurah bakti.

Bercakap mengenai perpindahannya itu, Greizmann memberitahu Marca: "Saya menghubungi bapa saya dan mula menangis kegembiraan kerana saya sudah berjaya, segala-galanya sudah selesai.

"Saya sedang bersama rakan-rakan saya, isteri saya dan anak saya dan ia saat yang luar biasa.

"Saya hanya mahu menamatkan percutian saya dan memulakan cabaran baru ini.

"Bilik persalinan mengalu-alukan kedatangan saya: pemain, barisan kejurulatihan dan doktor.

"Buat waktu ini, saya sedang menikmatinya dan ayuh berharap saya akan memiliki keyakinan untuk memberikan ucapan, menjadi diri saya dan menikmatinya," katanya.

Griezmann akan bergandingan dengan bintang terulung Barca dan pemenang lima kali Anugerah Ballon d'Or, Lionel Messi, di Camp Nou.

Messi mengetuai kejayaan Barca pada musim 2018-19 dengan menghasilkan 51 gol dalam kesemua kejohanan ketika skuad kendalian Ernesto Valverde itu mempertahankan mahkota kejuaraan LaLiga daripada kelab yang diwakili Griezmann, Atletico.

"Ia amat hebat untuk beraksi di sampingnya.

"Saya berasa teruja untuk melihat seperti apakah dia dari hari ke hari, apakah yang dilakukannya dalam latihan dan saya mahu memerhatikan apa yang dilakukannya sewaktu berlatih dan menirunya atau melakukannya dengan cara saya sendiri.

"Saya mahu mengenalinya di atas dan di luar padang.

"Saya tidak sabar untuk menantikan kehadirannya.

"Saya akan bersedia untuk melakukan apa yang perlu dilakukan: untuk dia, untuk kelab ini dan untuk semua pemain," tambahnya.