Pencari bakat yang membantu menaikkan karier Antoine Griezman berkata pemain Perancis itu masih mengekalkan kepercayaan mampu memenangi anugerah Ballon d'Or.

Eric Olhats -- yang menemui bakat Griezmann ketika bintang Atletico Madrid itu baru berusia 14 tahun -- berkata anak didiknya itu masih tidak berputus asa untuk menewaskan pemain seperti Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi untuk dinobat pemain terbaik dunia.

Griezmann menggondol anugerah Kasut Emas susulan menjaringkan enam gol untuk membawa Perancis ke final Euro 2016 di samping membantu Atletico Madrid meraih kedudukan ketiga dalam La Liga.

Kali terakhir pemain selain Messi dan Ronaldo meraih anugerah itu adalah pada tahun 2007, apabila anugerah tersebut menjadi milik Ricardo Izecson dos Santos Leite (Kaka).

Olhats sebelum ini pernah mengatakan bahawa anugerah itu masih jauh daripada jangkauan Griezmann memasuki tahun 2016.

Namun, Olhats menegaskan kenyataannya telah disalah tafsir oleh media.

"Saya memberitahu RMC,'Kami tidak akan memenangi anugerah itu. Ia akan menjadi milik Ronaldo,' tetapi kenyataan saya telah disalah erti.

"Saya menjelaskan ketika itu bahawa Ronaldo akan meraih anugerah tersebut berdasarkan pencapain pada tahun ini.

"Antoine berharap media Eropah akan mengundi berdasarkan faktor berbeza selain daripada menilai aspek yang sama.

"Aksi individu turut memainkan peranan penting, jadi daripada faktor itu, Griezmann memiliki peluang."