Antoine Griezmann mengakui dia bercadang untuk meninggalkan Atletico Madrid pada penghujung musim 2016-17.

Pemain kebangsaan Perancis itu telah dikaitkan dengan perpindahan ke kelab gergasi seperti Paris Saint-Germain dan Manchester United sejak beberapa bulan lalu dan dia berniat untuk berhijrah meninggalkan Vicente Calderon jika pengendali pasukan, Diego Simeone, mendapat tawaran di kelab lain.

Bagaimanapun, ketua jurulatih itu menegaskan Griezmann tidak akan ke mana-mana dan akan terus bersaing dalam LaLiga.

"Masa depan saya kelihatan samar apabila Simeone telah dikaitkan dengan pasukan lain pada musim lalu," jelas Griezmann.

"Saya menghubunginya dan Simeone memberitahu bahawa beliau akan kekal bersama pasukan. Jadi, saya mengambil keputusan untuk tidak berhijrah. Saya sangat menghormati beliau dan saya berasakan perlu bekerja lebih keras lagi.

"Tetapi ia tidak bermakna saya akan mengikut jejak langkahnya jika beliau meninggalkan Atletico.

"Rakan sepasukan saya sangat menghargai saya. Saya telah mencapai tahap ini hasil usaha setiap individu di dalam pasukan.

"Saya cuba untuk menjadi lebih baik setiap minggu. Saya memerlukan mereka dan saya menikmati saat beraksi bersama Atletico."

Laporan dari Perancis mencadangkan PSG akan membuat tawaran untuk membawa Griezmann ke Parc des Princes pada penghujung musim tetapi penyerang itu tidak berminat untuk beraksi dalam Ligue 1.

"Perpindahan ke Ligue 1 bukan sasaran utama saya pada peringkat ini, mungkin di masa akan datang. Buat ketika ini, saya sangat gembira beraksi di Sepanyol."