Quique Setien memuji Antoine Griezmann kerana melakukan tugas terpuji ketika Barcelona menewaskan Leganes 2-0 dalam perlawanan LaLiga di Camp Nou awal pagi tadi.

Gol daripada Ansu Fati dalam babak pertama dan jaringan penalti Lionel Messi dalam babak berikutnya menyaksikan Barca kembali berkelebihan lima mata di puncak liga walaupun Griezmann sekali lagi bergelut dalam perlawanan itu.

Percubaan penyerang itu dibatalkan kerana ofsaid untuk menyaksikan dia hanya menjaringkan lapan gol daripada 28 perlawanan dalam musim LaLiga pertamanya bersama Barcelona.

Namun, Setien memuji pemain kebangsaan Perancis itu dengan berkata kepada Movistar: "Griezmann adalah pemuda yang melakukan tugas terpuji. Dia merupakan pemain yang amat penting."

Barcelona masih belum berada di prestasi terbaik selepas liga direhatkan berikutan pandemik Covid-19 tetapi masih dapat menewaskan lawan di tangga tercorot itu.

Setien berkata dia menjangkakan satu cabaran berbeza seandainya pasukannya dapat menjaringkan gol lebih awal dengan jaringan Fati hanya tiba pada tiga minit terakhir sebelum waktu rehat.

"Saya sedar perlawanan ini akan menjadi sukar.

"Melainkan anda bertuah untuk mendapatkan gol awal, yang akan membuka permainan ini, ia akan menjadi rumit. Ia memang seperti itu.

"Kami bermula baik tetapi kami kehilangan bola dan memberikan mereka ruang untuk bernafas.

"Ia pernah berlaku kepada kami dalam perlawanan piala (Januari lalu).

"Mereka mampu menjaringkan gol tetapi kami sudah menguasai permainan pada 20 minit terakhir.

"Mereka menutup ruang dan bertahan dengan amat baik. Bukan mudah untuk mencari ruang," katanya lagi.

Barcelona seterusnya akan berkunjung ke laman Sevilla, Jumaat ini.