Bintang Atletico Madrid, Antoine Griezmann, berasa sedikit lega dengan tahap kecergasannya menjelang perlawanan derby esok, menentang Real Madrid, selepas menyertai latihan penuh, semalam.

Calon Ballon d'Or itu menarik diri ketika perlawanan persahabatan antarabangsa, Perancis menentang Ivory Coast pada minggu ini yang berkesudahan dengan keputusan seri 0-0.

Keputusan itu dibuat selepas mengalami kecederaan pada kaki kirinya ketika kemenangan 2-1 dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia menentang Sweden, Jumaat lalu.

X-ray mengesahkan Griezmann tidak mengalami patah tulang dan pemain pertahanan Atletico, Juanfran memberitahu Partidazo COPE, pemain yang berusia 25 tahun itu yakin bakal beraksi berdepan Real di Vicente Calderon.

Dia telah mengotakan janjinya untuk menyertai Juanfran dan rakan sepasukan yang lain pada sesi latihan semalam.

181116Atletico

Griezmann telah menjaringkan lapan gol pada 14 penampilan dalam semua pertandingan untuk Atletico musim ini, dan menjaringkan gol tunggal untuk pasukan Diego Simeone, ketika kemenangan 1-0 di Santiago Bernabeu musim lalu.