Antoine Griezmann sekali lagi menimbulkan spekulasi bahawa dia bakal ke Manchester United apabila menyifatkan perpindahan ke Old Trafford adalah satu kemungkinan.

Penyerang Atletico Madrid itu dikatakan bakal berhijrah ke United pada musim panas lalu tetapi penggantungan perpindahan yang dihadapi oleh kelab dari Sepanyol itu menyaksikan perpindahan itu tidak dapat dijalankan.

Griezmann kemudian memperbaharui kontraknya bersama Atletico, namun prestasinya menjunam pada musim ini apabila sekadar menjaringkan tiga gol dalam 14 perlawanan dalam semua kejohanan.

Bagaimanapun, wujud persoalan mengenai harga tinggi yang dimiliki penyerang Perancis itu dan United dikatakan masih menyimpan hajat untuk mendapatkannya walaupun Griezmann menjelaskan dia gembira di ibu kota Sepanyol itu, namun dalam masa sama menganggap peluang masih terbuka untuknya.

“Jun lalu, saya memperbaharui kontrak dan terikat dengan Atletico sehingga 2022,” ujar Griezmann melalui buku biografinya.

“Walaupun saya mungkin terlepas beberapa kejuaraan, saya memiliki segala-galanya di sini untuk berasa gembira tetapi itu tidak bermaksud saya tidak akan berpindah.

“Saya masih belum membuat keputusan. Ia bergantung kepada beberapa faktor. Saya tiada masalah dengan England kecuali cuaca. Manchester United adalah satu kemungkinan.

“Saya suka untuk mengulangi bahawa di Atletico, saya mempunyai jurulatih yang hebat dan rakan sepasukan yang bagus. Mereka sering bertanya tentang masa depan saya dan saya tidak menyangkal apa-apa perkara,” tambahnya.