Penggempur Atletico Madrid, Antoine Griezmann, menjawab kembali dakwaan Franck Ribery yang menganggapnya masih belum mencapai tahap pemain berkelas dunia, dengan mengatakan bapanya menganggapnya sebagai pemain terbaik dunia.

Griezmann muncul antara bintang paling menyerlah sejak menyertai Atletico pada 2014 dan menjadi pilihan untuk memenangi Ballon d'Or berikutan penampilan hebatnya dalam kempen Euro 2016 bersama Perancis.

Bagaimanapun, rakan senegaranya, Ribery, memberitahu Sport Bild: "Griezmann melakukan kerja hebat musim lalu.... Namun anda perlu konsisten dalam penampilan jika anda mahu menjadi pemain berkelas dunia."

Menurutnya lagi, "Orang ramai begitu mudah mengatakan seseorang itu pemain yang hebat dan berhak menang Ballon d'Or selepas hanya semusim. Saya tidak bersetuju.

"Bagi saya, anda perlu membuktikannya dalam tempoh 10, 12 dan 15 tahun jika anda mahu berada di kalangan yang terbaik. Lakukannya dan saya akan mengucapkan tahniah.

"Saya mungkin tersisih selama sembilan bulan akibat kecederaan, namun saya sentiasa memberikan segala-galanya ketika beraksi di tahap tinggi untuk tempoh lebih 10 tahun."

Griezmann tampil menjawab dakwaan pemain sayap Bayern Munich itu dengan berkata kepada Eurosport:" Saya akan terus berusaha. Seperti yang dia katakan, kita tunggu dan lihat perkembangan saya tapi saya tahu saya berada di landasan yang betul.

"Setiap orang memiliki pandangan tersendiri. Contohnya, bagi bapa saya, saya adalah pemain terbaik dunia. Begitu juga bagi peminat Atletico."

Presiden Atletico, Enrique Cerezo, turut menyuarakan pendapat dengan berkata, "Ribery agak berusia. Kami maafkan dia kerana dia merupakan pemain yang hebat."