Griezmann: Gandingan dengan Messi, Suarez bertambah baik 

Oleh Penulis Jemputan 20 Oktober 2019 391
Griezmann: Gandingan dengan Messi, Suarez bertambah baik 
EIBAR 0 BARCELONA 3 

Antoine Griezmann percaya gandingannya dengan Lionel Messi dan Luis Suarez semakin berjalan lancar selepas gabungan trio penyerang itu menghasilkan kemenangan 3-0 di Eibar.


Griezmann mula menemui rentak bersama Barca selepas bergelut pada awal ketibaannya untuk meletakkan pasukan di depan pada minit ke-13.

Jaringan pemain bernilai €120 juta (RM560.9j) itu kemudian disusuli penyudah Messi dan Suarez dalam babak kedua untuk Barca memintas Real Madrid di persada liga dalam aksi malam tadi. 

"Akan ada hari yang lebih baik atau lebih buruk tetapi kami akan saling mengenali satu sama lain sedikit demi sedikit dan kami akan bertambah baik," katanya kepada Movistar LaLiga.

Gol pembukaan pemain Perancis itu hadir selepas lariannya untuk menyambut hantaran pertahanan tengah, Clement Lenglet.

"Kami sedar Eibar akan memberi lebih banyak tekanan di bahagian atas, jadi saya memberitahu Lenglet, jika dia melihat saya berhampiran garisan tepi padang, dia patut cuba membuat hantaran jauh," katanya. 

"Dia melakukannya dan kami mendahului 1-0.

"Adalah penting untuk meraih tiga mata kerana selepas rehat antarabangsa, ia sentiasa sukar untuk berkunjung ke tempat lawan.. 

"Ia telah menjadi perlawanan yang bagus dan kini kami perlu memikirkan soal Liga Juara-Juara (UCL)," katanya.

Anak buah Ernesto Valverde itu akan menghadapi Slavia Prague di tempat lawan, awal pagi Khamis ini, dalam usaha melebarkan pungutan empat mata setelah dua perlawanan pembukaan dengan Borussia Dortmund dan Inter dalam kempen Eropah itu.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen