Ketua pasukan England, Harry Kane, serta rakan sepasukannya telah membuatkan kapten Sweden, Andreas Granqvist, berasa kagum selepas mempamerkan persembahan hebat dalam Piala Dunia 2018.

Sweden akan menentang Switzerland dalam saingan pusingan kedua di St Petersburg malam esok dan pemenang akan bertemu sama ada England atau Colombia dalam suku akhir.

Granqvist, yang pernah berkelana ke England bersama Wigan Athletic, kini fokus dengan aksi seterusnya tetapi menyatakan kekaguman terhadap permainan menyerang yang ditampilkan skuad kendalian Gareth Southgate itu.

"Saya harus akui bahawa mereka merupakan sebuah pasukan yang bagus," katanya dalam sidang media menjelang perlawanan di Stadium Krestovsky.

"Secara teknikal, England memiliki bakat. Kane adalah seorang penyerang yang hebat dan telah membuktikan kemampuannya dalam beberapa tahun.

"Kami berdepan aksi penting, sama seperti mereka dan kita akan saksikan bagaimana ia berlangsung."

Sama seperti Kane yang merupakan penjaring terbanyak kejohanan setakat ini dengan lima gol, Granqvist turut telah menyumbat dua gol menerusi sepakan penalti di Russia selepas menyempurnakan peluang ketika bertemu Korea Selatan dan Mexico dalam perlawanan Kumpulan F.