Mario Gotze menyifatkan kehidupan sebagai individu yang menjaringkan gol kemenangan dalam final Piala Dunia 2014 sebagai sesuatu yang sangat mencabar.

Empat tahun lalu, Gotze muncul wira buat Die Mannschaft apabila masuk sebagai pemain gantian sebelum menyumbat gol kemenangan dalam masa tambahan untuk memberikan kejuaraan Piala Dunia yang keempat buat Jerman.

Ketika itu, dia baru sahaja mengharungi musim pertama bersama Bayern Munich dan menjulang dua trofi di peringkat domestik.

Kini, dia telah kembali ke Borussia Dortmund dan selepas mengalami masalah metabolisme, pemain berusia 26 tahun itu gagal menarik perhatian Joachim Low untuk ke Russia 2018.

"Orang ramai berfikir bahawa segalanya sudah berakhir buat saya dan sukar untuk mengulangi tahap itu," kata Gotze kepada DAZN untuk salah satu bahagian dalam dokumentari bertajuk "Being Mario Gotze".

"Saya pernah tertanya-tanya apakah tahap tersebut dan jika ia adalah gol kemenangan Piala Dunia, ia sememangnya benar.

"Jaringan ketika Piala Dunia itu telah meletakkan jangkaan dan harapan besar terhadap diri saya dan akhirnya saya bergelut untuk mengekalkan prestasi terbaik. Ia sering dituntut dalam setiap perlawanan."

Gotze kembali ke Signal Iduna Park, tempat di mana dia berkembang dalam skuad muda di bawah bimbingan Jurgen Klopp tetapi malangnya dia mengalami masalah metabolisme sehingga menyebabkan dirinya sering terlepas aksi perlawanan.

"Keadaan fizikal saya telah dipengaruhi dan saya terlalu berharap kepadanya.

"Fikiran saya sentiasa mahu melakukan lebih daripada orang lain. Kini, saya sedar saya harus memberikan badan sedikit rehat.

"Jika anda mengalami kecederaan, ia mudah. Bahagian tulang atau ligamen akan kembali pulih dengan baik tetapi untuk memahami tahap kecergasan anda tidak berada di tahap sepatutnya, ia adalah cabaran terbesar."