Mario Gotze bakal meninggalkan Borussia Dortmund pada penghujung musim ini, demikian pengesahan Pengarah Sukan, Michael Zorc.

Bulan lalu, pemain tengah itu mengesahkan bahawa hasrat untuk meninggalkan Signal Iduna Park demi mencari arah baru dalam kariernya di sebalik Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Hans-Joachim Watzke, mendedahkan Gotze memutuskan untuk menandatangani kontrak baru.

Pengurus, Lucien Favre, pula meletakkan masa depan Gotze dalam keraguan minggu ini apabila mengakui pemain itu tidak sesuai dengan sistem permainan mereka.

Bercakap menjelang pertembungan Bundesliga dengan Wolfsburg awal pagi tadi, Zorc mengesahkan Gotze akan meninggalkan kelab itu secara percuma pada akhir musim ini.

"Kami akan melengkapkan tugas kami bersama Mario musim panas ini," kata Zorc kepada Sky.

"Ini keputusan yang dibuat menerusi persetujuan bersama setelah mengadakan perbualan yang baik. Mario adalah seorang lelaki yang hebat."

Gotze kembali ke Dortmund pada 2016 setelah meninggalkan kelab akademinya itu untuk bergabung dengan Bayern Munich tiga tahun sebelumnya.

Hertha Berlin dilaporkan berminat mendapatkan khidmatnya tetapi kelab Serie A termasuk Milan, Roma dan Lazio juga turut dikaitkan.