Raheem Sterling mengkritik sebilangan penyokong England yang mencemuh Joe Gomez ketika meraih kemenangan 7-0 ke atas Montenegro dalam saingan kelayakan Euro 2020 awal pagi tadi.

Gomez diherdik ketika diperkenalkan dalam separuh masa kedua di Wembley, di mana England berjaya merakamkan kemenangan mudah untuk menempah slot ke Euro 2020.

Pertahanan Liverpool itu terlibat dalam pertelingkahan dengan Sterling sebelum ini dan bintang Manchester City itu telah diketepikan England atas insiden tersebut.

Sterling tidak berpuas hati dengan penyokong England yang mencemuh Gomez dan berkata pemain berusia 22 tahun itu tidak melakukan sebarang kesalahan.

"Kepada semua penyokong England, saya mahu menjelaskan perkara ini sekali lagi. Sukar bagi saya untuk menyaksikan rakan sepasukan dicemuh atas kesilapan yang saya lakukan," kata Sterling menerusi laman twitter.

"Gomez tidak melakukan sebarang kesalahan dan bagi saya menyaksikan pemain yang berusaha sebaik mungkin selepas mengharungi minggu yang sukar dan dicemuh adalah salah.

"Saya bertanggungjawab di atas apa yang berlaku dan menerima akibatnya."

England melakar kemenangan keenam dalam tujuh perlawanan Kumpula A dan meraih slot ke Euro 2020 dalam aksi yang ke-1,000.

Harry Kane menjaringkan hatrik berdepan Montenegro sementara Alex Oxlade-Chamberlain, Marcus Rashford, Tammy Abraham dan jaringan sendiri Aleksandar Sofranac melengkapkan kemenangan skuad kendalian Gareth Southgate itu.