"Kedudukan Mario Gomez belum pasti," itu penjelasan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, bagi mengulas sama ada bekas jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT) itu akan menerajui skuad senior kebangsaan.

Gomez sebelum ini dikaitkan dengan kedudukan selaku jurulatih kebangsaan susulan pemilihan Tunku Ismail bagi menerajui badan induk bola sepak negara.

Jurulatih itu masih belum memeterai sebarang ikatan bersama FAM dengan faktor gaji masih lagi dalam perbincangan.

"Gomez meminta gaji lebih daripada apa yang dia terima di JDT," katanya. "Saya cakap ini bukan kelab JDT."

"Saya buat tawaran dan dia kata nak fikir dahulu kerana dia nak lebih duit. Dan kemungkinan kita tidak ambil dia pun."

Beliau berkata demikian semasa sesi bersama pengamal media di Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru, hari ini.

Menerusi sesi ini, beliau berpeluang berkongsi pandangan serta perancangan mengenai pembaharuan FAM bersama media di samping mendengar cadangan pihak media untuk penambahbaikan.

Mengulas mengenai kedudukan Tan Cheng Hoe bersama skuad kebangsaan, Tunku Ismail menyerahkan kepada ketua jurulatih sama ada khidmat pengendali Kedah itu diperlukan ataupun tidak.

Selain Cheng Hoe, Gomez juga dikatakan ingin mengambil khidmat pembantu jurulatih JDT, Raul Longhi, serta bekas penjaga gol kebangsaan, Azmin Azram Abdul Aziz.

Tegasnya, kehadiran jurulatih tempatan -- walaupun atas kapasiti pembantu -- tetap penting dalam usaha meningkatkan kualiti mereka.

"Syarat yang saya beri kepada mana-mana jurulatih luar yang datang, pembantu jurulatih mesti anak tempatan."

Gomez membawa reputasi selaku pengendali 13 pasukan sebelum bersama JDT termasuk pasukan handalan South China.

Di bawah kendaliannya, JDT bukan sahaja muncul juara Liga Super sebanyak dua kali tetapi juga juara Piala AFC yang dianggap pencapaian paling cemerlang pasukan dari Malaysia.

Mario Gomez
Umur : 60 tahun
Asal : Mar del Plata, Argentina
Membimbing JDT: 2015-2017

Kejayaan bersama JDT:
• Juara Piala AFC 2015
• Juara Liga Super 2015 & 2016
• Juara Piala FA 2016
• Juara Piala Sumbangsih 2016