Gol Zapata pastikan Atalanta cecah rekod 68 tahun Serie A

Oleh Muzaffar Musa 12 Julai 2020 448
Gol Zapata pastikan Atalanta cecah rekod 68 tahun Serie A
Gol pembukaan Duvan Zapata yang membantu Atalanta mengikat Juventus 2-2 awal pagi tadi menyaksikan skuad kendalian Gian Piero Gasperini itu mencatatkan satu rekod yang tidak pernah disaksikan selama 68 tahun dalam Serie A.

Pemain kebangsaan Colombia itu memecahkan kebuntuan di Stadium Allianz pada minit ke-16 sebaik menerima hantaran bijak daripada Alejandro Gomez untuk merekodkan golnya yang ke-15 musim ini.

Ia bermakna Atalanta menjadi pasukan pertama memiliki tiga pemain menjaringkan lebih daripada 15 gol dalam satu musim Serie A sejak Ermes Muccinelli, Giampiero Boniperti dan John Hansen melakukannya buat Juventus dalam musim 1951-52.

Josep Ilicic terlebih dahulu merekodkan 15 jaringan manaka Luis Muriel pula dengan 17 gol sebelum Zapata menyertai mereka.
 
Atalanta kini telah menjaringkan gol dalam 20 perlawanan Serie A berturut-turut -- rekod terbaik mereka dalam kejohanan itu sejak melakukannya dalam 23 perlawanan berturut-turut musim 1955-56.
   

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen