LAZIO 1 CELTIC 2

Olivier Ntcham menjaringkan gol dramatik pada saat-saat akhir untuk memastikan kemaraan Celtic ke pusingan 32 Liga Europa selepas menewaskan Lazio 2-1 di Stadium Olimpico awal pagi tadi.


Juara Liga Perdana Scotland itu memerlukan kemenangan pertama di bumi Itali untuk menjamin kemaraan mereka ke pusingan kalah mati, namun laluan itu kelihatan sukar buat skuad kendalian Neil Lennon itu apabila Ciro Immobile terlebih dahulu meletakkan pasukan tuan rumah itu di depan pada awal permainan.

Celtic kembali melawan dengan James Forrest menjaringkan gol penyamaan sebelum waktu rehat untuk meningkatkan suasana perlawanan di Rome itu.

Siri tiga aksi menyelamat gemilang penjaga gol, Fraser Forster, mengecewakan Lazio dan menjelang sepakan terakhir dalam perlawanan itu, pemain gantian, Ntcham, menghasilkan lambungan yang menerjah jaring untuk penyokong The Hoops di arena lawan itu melompat keriangan.

Immobile tidak beraksi ketika pasukannya tewas 1-2 di Glasgow bulan lalu tetapi dia menandakan kepulangannya dalam Liga Europa dengan gol voli gemilang pada minit ketujuh.

Christopher Jullien hampir menyamakan kedudukan buat Celtic selepas menanduk bola yang terlalu dekat dengan gawang sendiri tetapi Lazio tidak dapat meluaskan dominasi mereka dan selepas Francesco Acerbi gagal menemui hantaran Mohamed Elyounoussi, Forrest mengekalkan ketenangannya untuk menyamakan kedudukan buat pelawat.

Forster kemudian berdepan situasi getir apabila tindakannya menolak bola ke arah bucu gawangnya hampir mengembalikan Lazio di depan sementara Odsonne Edouard memaksa penjaga gol Lazio, Thomas Strakosha, bekerja keras sebaik perlawanan bersambung.

Scott Brown hampir menghasilkan gol kedua ketika Celtic melancarkan serangan bertali arus dan Lazio sepatutnya kembali di depan andai Forster tidak bertindak tangkas menafikan tandukan Sergej Milinkovic-Savic.

Forster dapat berehat seketika pada 15 minit terakhir sebelum penjaga gol Celtic itu melakukan dua aksi menyelamat gemilang berturut-turut untuk terus mengecewakan Lazio.

Ia membuka jalan untuk Ntcham menjadi wira pasukannya dengan pemain tengah itu menemui hantaran Edouard sebelum melambungkannya melepasi kawalan Strakosha untuk membawa Celtic ke pusingan berikutnya.