Dominic Calvert-Lewin menyifatkan gol pertamanya bersama skuad kebangsaan England merupakan "salah satu Impiannya" dan menegaskan bahawa dia sudah bersedia untuk beraksi apabila mendapat panggilan daripada skuad The Three Lions itu.

Penyerang Everton itu membuka jaringan ketika menewaskan Wales 3-0 dalam aksi persahabatan di Wembley awal pagi tadi untuk kini menghimpunkan 10 gol buat kelab dan pasukan negaranya sepanjang musim ini.

Conor Coady dan Danny Ings turut memperoleh gol pertama mereka bersama England dan ia merupakan persediaan terbaik sebelum skuad kendalian Gareth Southgate itu menghadapi Belgium dan Denmark dalam Liga Negara-Negara Eropah.

"Jelas amat merugikan kerana tiada penyokong untuk meraikannya dan amat jelas keluarga saya juga tiada di sini untuk meraikannya, jadi ia sesuatu yang berbelah bahagi tetapi untuk menjaringkan gol dalam penampilan pertama merupakan antara impian saya," kata Calvert-Lewin kepada ITV.

"Saya berusaha dengan amat keras untuk sampai ke tahap ini, ia seperti perjalanan yang panjang tetapi saya amat-amat gembira untuk berada sini dan mendapat peluang untuk menjaringkan gol dalam penampilan pertama saya."

Calvert-Lewin digantikan pada minit ke-58 dan ia memberikan gambaran bahawa dia mungkin dipilih mewakili England dalam Liga Negara-Negara.

Bagaimanapun, penyerang itu hanya mahu membuktikan keupayaannya bila-bila masa apabila diberikan peluang.

"Saya tidak tahu apa maksudnya. Apa yang saya boleh katakan, saya benar-benar menikmati setiap masa apabila saya dapat beraksi di atas padang dan bersedia untuk melangkah sekiranya diperlukan," tambahnya.

Calvert-Lewin turut berterima kasih kepada Jack Grealish, yang melakukan hantaran lintang gemilang ketika membantu jaringannya.

"Dia permain terbaik, saya pernah melihatnya.

"Ia merupakan kali pertama saya bermain dengannya dan melihatnya secara dekat. Dia sememangnya mempunyai banyak kemampuan.

"Saya sedar dia berada di posisinya dan saya pula perlu kekal berada di posisi saya dan dia kemudian melakukan hantaran lintang," katanya lagi.