BARCELONA 1 TOTTENHAM 1

Harry Kane gembira dengan kejayaan Tottenham mengikat Barcelona ketika bertandang ke tempat lawan selepas mara ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi tadi.


Spurs turun beraksi dengan misi untuk sekurang-kurangnya menyamai keputusan Inter menentang PSV di tempat sendiri -- yang berkesudahan 1-1 -- selepas jaringan lewat Lucas Moura memastikan mereka meraih keputusan yang dihajati.

Kelab London itu ketinggalan 0-1 susulan dihukum gerakan solo Ousmane Dembele, namun sebaik Spurs menemui rentak permainan, mereka mencipta deretan peluang di depan gol.

Malah, Spurs seharusnya layak memenangi perlawanan itu meskipun keputusan seri sudah memadai sementara penyerang bintangnya, Kane, ceria dengan kejayaan tersebut.

"Kami mempunyai banyak peluang tetapi bola tidak mahu menerjah jaring," katanya kepada BT Sport.

"Namun, kami terus berjuang dan berhasil mendapatkan satu gol."

"Kami cuba untuk menokok gol lagi memandangkan kami tidak tahu mengenai keputusan satu perlawanan lagi (Inter bertemu PSV). Kami sangat teruja kerana kami dapat mara. Keputusan seri di gelanggang Barcelona bukanlah keputusan yang buruk."

Penjaga gawang Tottenham, Hugo Lloris, tabik dengan rakan sepasukannya kerana tetap utuh dengan prinsip mereka dan dalam masa yang sama, berterima kasih kepada PSV atas bantuan mereka.

"Ya, memang benar kami mendapat bantuan daripada PSV," katanya.

"Kami berdepan kesukaran ekoran dibolosi awal, namun kami tetap meneruskan prinsip kami dan mempamerkan aksi yang sangat menarik.

"Kami tidak menang tetapi kami mara. Itulah perkara paling mustahak. Semangat yang ditonjolkan pemain sungguh menakjubkan. Kami memang berhak. Apabila peminat mula bersorak, kami mulai sedar bahawa kami telah layak."