BARCELONA 2 MALAGA 0

Gol kontroversi daripada Gerard Deulofeu membantu Barcelona meneruskan penguasaan dalam LaLiga apabila menundukkan Malaga 2-0 dalam aksi di Nou Camp, awal pagi tadi.


Barca, yang masih belum tewas dalam saingan musim ini, mengejutkan pelawat ketika permainan baru berusia 113 saat apabila Deulofeu meluru untuk menampan bola masuk hasil hantaran lintang Lucas Digne.

Bagaimanapun, bantuan jaringan daripada pertahanan Perancis itu menerima bantahan daripada pasukan Malaga yang mendakwa bola sudah terkeluar dari padang sebelum dia melakukan hantaran dan ulang tayang video juga membuktikannya, namun pengadil perlawanan, Pablo Gonzalez, tetap mengesahkan gol tersebut.

Jaringan itu juga membolehkan Deulofeu meraih jaringan pertamanya buat Barca selepas 16 perlawanan.

Malaga hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-29 menerusi hantaran daripada Juankar di sebelah kiri tetapi tandukan susulan daripada Adalberto Penaranda sekadar tersasar.

Sebaliknya, tuan rumah berjaya menambah gol ketika babak kedua bersambung selama 11 minit apabila Lionel Messi berjaya melepasi dua pertahanan sebelum melorongkan bola buat Andres Iniesta.

Pemenang Piala Dunia 2010 bersama Sepanyol itu tidak mensia-siakan peluang tersebut untuk melepaskan rembatan kaki kiri yang tepat singgah ke penjuru gol Malaga menewaskan Andres Prieto untuk mencatat jaringan pertamanya dalam masa hampir setahun.

Biarpun Malaga cuba merapatkan jurang, Barca tetap unggul mempertahankan kedudukan 2-0 sehingga tamat perlawanan.

Skuad kendalian Ernesto Valverde itu kini berada di tangga teratas LaLiga dengan 25 mata, empat mata mengatasi Valencia yang berada di tangga kedua.