MANCHESTER CITY 2 SHAKTAR DONETSK 0

Kevin De Bruyne menyumbat satu gol gemilang untuk membantu Manchester City meraih kemenangan 2-0 yang sukar ke atas Shakhtar Donetsk dalam Liga Juara-Juara awal pagi tadi sambil Sergio Aguero terlepas satu sepakan penalti.


Bintang barisan tengah itu menonjol selaku penggerak kreatif City dalam permulaan cemerlang musim ini dan sekali lagi dia menunjukkan sentuhan penyudah cemerlangnya dengan rembatan ke penjuru kanan gawang lawan sejurus permainan bersambung dalam babak kedua selepas 45 minit pertama yang getir.

Shakhtar tiba di Stadium Etihad tanpa sebarang kekalahan dalam sembilan perlawanan dan kehadiran ramai pemain Brazil dalam barisannya menyukarkan buat City, dengan Taison, Marlos dan Bernard berupaya menafikan tuan rumah penguasaan yang lazim menjadi miliknya.

City, bagaimanapun, mengukuhkan cengkamannya terhadap permainan lewat dalam perlawanan itu, namun Aguero terlepas peluang untuk menyamai rekod 177 gol Eric Brook untuk kelab berkenaan apabila sepakan penaltinya diselamatkan Andriy Pyatov pada minit ke-72.

Begitupun, Raheem Sterling melebarkan kedudukan kepada 2-0 dengan menyudahkan satu gerakan serangan.

Keputusan itu memanjangkan rentetan kemenangan City kepada tujuh perlawanan dalam semua pertandingan dan tiga mata yang diraih memberikan jurang selesa di tangga teratas Kumpulan F.

Separuh masa kedua baru berusia tiga minit apabila satu hantaran tidak cermat Marlos, membolehkan De Bruyne melorongkan bola buat David Silva yang melintangkannya semula buat De Bruyne meledakkan rembatan yang menerjah ke penjuru atas gawang.

Fabian Delph, yang beraksi cemerlang di bek kiri, terlepas satu peluang keemasan sebelum rayuan Sterling untuk mendapatkan sepakan penalti ditolak.

Namun, dia menebusnya dengan memanfaatkan satu hantaran lintang Bernardo Silva dengan menyepak tinggi ke dalam gawang untuk mengesahkan kemenangan City pada minit ke-90.