AC MILAN 3 RIJEKA 2

Gol dalam waktu kecederaan oleh penyerang muda, Patrick Cutrone, menyelamatkan maruah AC Milan apabila berjaya menewaskan Rijeka 3-2 dalam aksi Kumpulan D, Liga Europa di San Siro, awal pagi tadi.


Beraksi di laman sendiri, skuad kendalian Vincenzo Montella itu tidak memerlukan masa yang begitu lama untuk memecah kebuntuan selepas Andre Silva tenang menggelecek dua pertahanan lawan sebelum melepaskan rembatan menewaskan penjaga gol pelawat, Simon Sluga.

Biarpun babak pertama berakhir dengan kedudukan 1-0, Milan berjaya menambah gol kedua ketika separuh masa kedua berusia lapan minit, apabila pertahanan, Mateo Musacchio, mudah menolak bola masuk hasil kekalutan di depan gol Rijeka.

Bagaimanapun, skuad Rossoneri hampir ditimpa mimpi ngeri selepas pelawat tiba-tiba bangkit menjaringkan dua gol dalam masa enam minit.

Boadu Acosty menggunakan kesempatan daripada kesilapan benteng tuan rumah untuk merapatkan jurang pada minit ke-84, sebelum sepakan penalti Josip Elez pada minit akhir perlawanan memberikan harapan buat pelawat untuk pulang sekurang-kurangnya dengan satu mata.

Kepintaran penyerang berusia 19 tahun, Cutrone, melepasi perangkap ofsaid akhirnya menyelamatkan maruah Milan apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ketiga dalam waktu kecederaan, sekaligus membolehkan Milan mengutip mata keenam daripada dua perlawanan untuk terus berada di tangga teratas Kumpulan D.