Gol Calvert-Lewin bawanya ke tahap berbeza -- Southgate

Oleh Muzaffar Musa 9 Oktober 2020 450
Gol Calvert-Lewin bawanya ke tahap berbeza -- Southgate
Gol Dominic Calvert-Lewin telah membawa permainannya ket tahap berbeza dan telah membuktikan kecemerlangannya dalam penampilan pertama bersama England, kata pengurus skuad The Three Lions itu, Gareth Southgate.

England mengatasi Wales 3-0 dalam aksi persahabatan di Wambley awal pagi tadi dengan Calvert-Lewin membuka akaun jaringan antarabangsanya dengan tandukan dalam babak pertama, sekali gus menghimpunkan 10 gol daripada tujuh penampilan buat kelab dan negaranya sepanjang musim ini.

Conor Coady dan Danny Ings turut meraikan jaringan antarabangsa pertama mereka dalam perlawanan itu dan ia merupakan kesebelasan utama paling kurang berpengalaman yang pernah diturunkan England sejak 1980.

Ditanya mengenai prestasi Calvert-Lewin, Soutgate berkata kepada ITV: "Ya, cemerlang, saya fikir ia amat-amat bagus.

"Dia melakukan penampilan yang cemerlang, lariannya merupakan satu ancaman, dia memberikan tekanan dengan baik, dia benar-benar menjaringkan golnya dengan amat baik, jadi saya fikir dia boleh berasa gembira.

"Saya fikir dia sedang berada dalam prestasi yang amat baik. Dia penyerang tengah serba boleh.

"Saya amat menggemari cara permainannya tetapi gol yang dihasilkannya itu telah menjadikannya pemain di tahap berbeza," katanya.
 
Perancang Aston Villa, Jack Grealish, turut melakukan penampilan pertamanya dalam kesebelasan utama England dan dia melakukan hantaran lintang gemilang untuk membantu gol Calvert-Lewin.

Ditanya jika Grealish sudah mula berada dalam perancangan skuad England, Southgate menambah: "Saya fikir pergerakannya bersama bola amat bagus.

"Dia mengundang beberapa faul, dia amat selesa menerima bola di kawasan sukar. 

"Saya fikir ia merupakan penampilan pertama di mana dia boleh berpuas hati," tambahnya.

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen