Karim Benzema menjaringkan gol dalam setiap separuh masa untuk Real Madrid menjulang trofi LaLiga buat kali ke-34 selepas menewaskanVillarreal 2-1 di Estadio Alfredo Di Stefano awal pagi tadi.

Pemain berbangsa Perancis itu menjaringkan golnya yang ke-20 dan 21 musim ini, sekali gus menjadikan kekalahan 1-2 Barcelona ke atas Osasuna dalam satu lagi perlawanan sudah tidak mendatangkan kesan kepada kedudukan keseluruhan.

Skuad kendalian Zinedine Zidane itu menguasai perlawanan sebelum cemas apabila tandukan Vincente Iborra kembali merapatkan jurang buat pelawat tetapi kemenangan ke-10 sejak penyambungan LaLiga bulan lalu itu sudah cukup untuk Madrid mengesahkan kejuaraan meskipun masih berbaki satu perlawanan.

Benzema menjaringkan tujuh gol dalam tempoh itu dan sumbangan daripada penyerang berkenaan dan keutuhan pertahanan mereka telah menjadi asas kejayaan Madrid musim ini.

Perlawanan itu, bagaimanapun, tidak berlangsung semudah yang disangka, di mana Madrid bergelut untuk mencari gol pembukaan, antaranya menerusi sepakan jarak jauh Luka Modric yang terkena palang gol.

Gol yang dicari-cari itu hanya tiba pada minit ke-29. Casemiro memintas hantaran Sofian Chakla dan Modric melorongkan bola untuk Benzema, yang menyepak bola melepasi celahan kaki penjaga gol, Sergio Asenjo.

Asenjo menafikan usaha Dani Carvajal pada awal babak kedua dengan sepakan leret kaki kiri pertahanan sayap itu ditolak keluar.

Madrid memperoleh peluang keemasan untuk menggandakan kelebihan mereka apabila Sergio Ramos memperoleh sepakan penalti selepas pengadil mendapati Chakla menolak jatuh kapten skuad Los Blancos itu.

Menerusi sepakan penalti itu, Ramos secara licik melorongkan bola kepada Benzema sebelum penyerang itu didapati bergerak terlalu awal tetapi Benzema tidak mempersiakan sepakan semula untuk menyudahkannya ke arah penjuru kiri bawah gawang lawan.

Toni Kroos menggegarkan palang sebelum Iborra menanduk masuk gol yang memuncakkan debaran Madrid, di mana penjaga gol, Thibaut Courtois, turut terpaksa menyelamatkan percubaan berturut-turut Bruno Soriano dan Iborra.

Marco Asensio hampir menamatkan debaran itu pada minit terakhir tetapi jaringannya dibatalkan video bantuan pengadil (VAR), namun keputusan itu tidak menghalang Madrid untuk meraikan kejuaraan terbaru mereka.