LEGIA WARSAW 3 REAL MADRID 3
Gareth Bale menuntut Real Madrid supaya memperbaiki prestasi mereka selepas Real Madrid sekadar seri 3-3 dalam aksi Liga Juara-Juara di Legia Warsaw, awal pagi tadi.


Dalam aksi di gelanggang tertutup itu, Bale melakar namanya selaku pemain Real Madrid yang menjaringkan gol terpantas dalam aksi Liga Juara-Juara menerusi rembatan padu jarak jauh ketika permainan baru sahaja berusia 57 saat.


Dia kemudian terus memainkan peranan penting dengan mencipta gerakan untuk gol kedua pasukan kendalian Zinedine Zidane itu yang disudahkan Karim Benzema.

Namun, Vadis Odjidja-Ofoe mengurangkan defisit gol sebelum waktu rehat dan Miroslav Radovic mengimbangi kedudukan kepada 2-2 pada minit ke-58.

Legia Warsaw hampir sahaja mencipta kejutan apabila memimpin perlawanan ketika permainan berbaki tujuh minit lagi menerusi tendangan lencong Thibault Moulin tetapi kejayaan mereka dinafikan Mateo Kovacic untuk gol penyamaan.

Tuan rumah sekali lagi menghadirkan detik cemas apabila percubaan terakhir perlawanan oleh Lucas Vazquez menggegar palang.

Keputusan seri ini secara tidak langsung menyekat hajat Real Madrid untuk mengesahkan tempat ke pusingan 16 dengan ketinggalan dua mata di belakang pendahulu Kumpulan F, Borussia Dortmund.

"Kami tidak gembira dengan keputusan ini, kami perlu mengambil iktibar daripada keputusan ini dan bangkit lebih kuat," kata Bale kepada beIN Sports.

"Kami menguasai perlawanan dengan mendahului 2-0 dan kami hilang fokus. Pada tahap ini, jika itu berlaku, maka anda akan dihukum.

"Kami perlu memantapkan lagi pertahanan dan lebih klinikal dengan peluang yang kami miliki. Kami hanya perlu belajar daripada kesilapan ini."