Hansi Flick percaya Serge Gnabry sudah hampir untuk menjadi pemain berkelas dunia selepas penyerang itu memastikan Bayern Munich ke final Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Gnabry menjaringkan gol berganda dalam babak pertama sebelum jaringan lewat permainan Robert Lewandowski memastikan Bayern menewaskan Lyon 3-0 dalam separuh akhir di Lisbon awal pagi tadi.

Pemain kebangsaan Jerman itu telah menjaringkan 23 gol daripada 45 perlawanan musim ini dan jurulatih Bayern, Flick, berasakan Gnabry semakin hampir untuk menjadi pemain terbaik dunia.

"Gol pembukaan yang dijaringkannya amat hebat, bagaimana dia menamatkannya dan bagaimana dia mengalihkan dirinya ke posisi itu," kata Flick dalam sidang media.

"Dan jika anda melihat kepada perkembangannya, bukan sekadar di Bayern Munich tetapi juga ketika bersama pasukan kebangsaannya, anda perlu katakan bahawa dia sangat hampir untuk menjadi pemain berkelas dunia.

"Dia amat dinamik dan amat berbahaya di depan gol dan kami amat gembira apabila dia menjaringkan dua gol dan dia berada di sini bersama pasukan kami.

"Dia mempunyai kualiti yang hebat dan saya yakin dia mampu mencapai potensinya," katanya.