Olivier Giroud kini meletakkan sasaran untuk mengejar Thierry Henry sebagai penjaring gol terbanyak Perancis selepas meledak dua gol ketika membuat penampilan ke-100 di pentas antarabangsa.

Penyerang Chelsea itu meledak gol ke-41 dan 42 buat Les Bleus ketika meraih kemenangan 7-1 ke atas Ukraine dalam aksi persahabatan di Stade de France.

Giroud melintasi Michel Platini dalam senarai penjaring terbanyak dan kini hanya di belakang bekas bintang Arsenal dan Barcelona, Henry, yang menjaring 51 dalam 123 perlawanan.

Bilangan gol Giroud terhasil apabila dia kerap kali digunakan oleh ketua jurulatih Didier Deschamps sebagai penyerang utama dengan menurunkan Antoine Griezmann dan Kylian Mbappe beroperasi di bahagian sayap.

Namun, pemain berusia 34 tahun itu bermain dalam setiap tujuh perlawanan Piala Dunia 2018, termasuk ketika aksi final bertemu yang berkesudahan 4-2, gagal menghasilkan sebarang jaringan dalam pertandingan tersebut.

Giroud menjelaskan tidak terlalu meletakkan tumpuan untuk mengejar Henry, tetapi mencadangkan rekod baru skuad kebangsaan kini dalam sasarannya.

"Sememangnya, saya sangat berbangga," kata Giroud.

"Meraih kaps yang ke-100, saya sangat gembira kerana dapat memastikan perkara ini berlaku.

"Ia akan sentiasa menjadi sesuatu yang penuh dengan emosi. Ia perlawanan persahabatan tetapi adalah ke-100 bagi saya, jadi saya sangat gembira buat diri sendiri dan pasukan. Kami telah menunjukkan permainan yang cemerlang.

"Kini saya akan melihat ke hadapan, tanpa meletakkan sebarang batasan dan berharap untuk kekal seperti ini.

"Mungkin masih terlalu awal tetapi saya mahu memecahkan rekod Henry."

Perancis berdepan Portugal dalam Liga Negara-Negara Ahad ini.