Pengendali Chelsea, Frank Lampard, memuji Olivier Giroud, kerana sekali lagi menghadirkan impak dengan jaringan pada penghujung permainan ketika berdepan Rennes dan berpandangan penyerang itu telah memberikan masalah dalam membuat pemilihan pasukan.

Pemain gantian, Giroud, menanduk gol dalam masa kecederaan ketika Chelsea menang 2-1 dan melangkah ke pusingan 16 Liga Juara-Juara dengan berbaki dua perlawanan dalam Kumpulan E.

Pemain berusia 34 tahun itu menghasilkan jaringan percubaan tunggalnya di Roazhon Park, gol kedua dalam saingan UCL dalam lapan perlawanan.



Lampard berikrar untuk memberikan lebih banyak peluang kepada Giroud, namun pengendali Chelsea itu terus menabur pujian kepada bekas pemain Arsenal itu dengan jaringan kemenangannya.

"Dia sentiasa melakukan perkara sebegini buat pasukan, dia seorang pemain yang berkualiti," kata Lampard.

"Bukan hanya dengan jaringan, tetapi dia mampu mengawal permainan dengan menggunakan kekuatan fizikalnya."


"Saya berdepan masalah kerana Tammy [Abraham] bermain dengan baik dan Olivier juga sama. Saya memiliki dua pemain yang bersaing untuk satu posisi, ia adalah satu masalah yang bagus.

"Dia akan memperoleh lebih banyak masa beraksi. Anda dapat melihat reaksi kerana jaringannya, bukan hanya gol kemenangan -- tetapi ia sungguh bermakna buat dirinya dan pasukan."

Giroud telah meledak enam gol dalam 13 perlawanan sejak saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) bersambung Jun lalu -- lebih satu berbanding Abraham, yang bermain empat perlawanan lebih daripadanya.