AJAX 2 GETAFE 1
(Getafe mara dengan agregat 3-2)

Getafe meneruskan musim sensasi mereka dengan menyingkirkan Ajax daripada Liga Europa selepas wakil LaLiga itu mencatat kemenangan 3-2 secara agregat biarpun tewas 1-2, awal pagi tadi.


Pasukan bimbingan Jose Bordalas itu membawa bekalan 2-0 ketika menentang pasukan yang mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara (UCL) musim lalu berkenaan dan melebarkan kelebihan mereka pada minit kelima perlawanan timbal balik tersebut menerusi gol sumbangan Jaime Mata.

Situasi itu menyaksikan Ajax memerlukan empat gol untuk lolos dan Danilo, yang membuat kemunculan sulung dalam kesebelasan utama, menampan masuk hantaran silang Donny van de Beek untuk menyamakan kedudukan lima minit kemudian.


Sepakan percuma Carel Eiting berjaya melepasi jangkauan David Soria pada minit ke-63 untuk mencetuskan harapan buat Ajax, namun Getafe tetap mara meskipun palang dan tiang gol menafikan hasrat mereka untuk mengukuhkan kedudukan.

Dalam aksi pusingan 32 yang lain, Istanbul Basaksehir bangkit untuk membenam Sporting CP 5-4 secara agregat susulan jaringan Edin Visca dalam masa tambahan manakala Shakhtar Donetsk menundukkan Benfica 5-4 selepas seri 3-3 dalam pertemuan kedua di Lisbon.

Juara Liga Europa tiga kali berturut-turut di bawah Unai Emery di antara 2014 dan 2016, Sevilla, pula bergelut di tempat lawan sebelum melepasi rintangan Cluj sungguhpun terikat 1-1.

Juara Romania itu dinafikan kemenangan ekoran sentuhan penyudah daripada Alexandru Paun pada lewat perlawanan dibatalkan setelah diteliti menerusi video bantuan pengadil (VAR) kerana bola terkena tangan Lacina Traore.