Legenda Liverpool, Steven Gerrard, berkata Virgil Van Dijk 100 peratus layak untuk meraih anugerah Ballon d'Or susulan aksi tanpa silap yang dipamerkan dalam laluan menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah musim lalu.

Van Dijk kini bersaing untuk anugerah individu tertinggi dalam bola sepak itu dengan bintang Barcelona, Lionel Messi.

Namun, Gerrard, yang kini bergelar pengurus Rangers -- walaupun mendedahkan dia merupakan peminat nombor satu Messi -- tidak meragui pertahanan Liverpool itu layak menerima anugerah tersebut.

Bercakap selepas pertemuan yang berakhir seri di antara Rangers dan Feyenoord, Gerrard memberitahu selepas wartawan bertanya sama ada Van Dijk patut menang: "Ya, 100 peratus.

"Saya peminat nombor satu Messi, itu sudah pasti. Saya sukakannya. Satu jumlah yang sangat hebat jika melihat bantuan gol dan jaringan yang dihasilkannya. Saya memang peminat Messi.

"Namun, jika bercakap mengenai seorang pemain yang mengekalkan prestasi sepanjang tahun, memenangi Liga Juara-Juara Eropah dan sukar melakukan kesilapan dalam permainan, ia bermaksud anda (Van Dijk) berhak memenangi Ballon d'Or."

Van Dijk menduduki tempat kedua di belakang Messi dalam anugerah Pemain Lelaki Terbaik FIFA, September lalu.