Bandar Genoa menawarkan diri untuk menjadi tuan rumah kepada perlawanan akhir kedua Copa Libertadores di antara seteru ketat kelab Argentina, Boca Juniors dan River Plate.

Aksi penentu Superclasico pertama dalam sejarah Copa Libertadores itu pada awalnya dirancang pada Sabtu lalu, namun serangan terhadap bas pasukan Boca menyebabkan sepak mula perlawanan itu ditangguhkan sebelum ditunda.

Konfederasi Bola Sepak Amerika Selatan (CONMEBOL) merancang untuk meneruskan permainan pada keesokannya tetapi ia sekali lagi ditangguhkan tanpa memaklumkan tarikh atau tempat baru.

Begitupun, Genoa menawarkan jalan penyelesaian dengan mencadangkan Stadio Luigi Ferraris sebagai medan perlawanan penentuan berkenaan.

Mengikut sejarah, Boca diasaskan oleh pendatang yang berasal dari Genoa sementara salah sebuah kelab yang bergabung untuk membentuk River juga mempunyai hubungan sejarah yang kuat dengan Itali.

Genoa bangkit sebagai sebuah bandar raya susulan insiden Jambatan Morandi yang runtuh sehingga mengakibatkan kematian puluhan orang pada Ogos lalu.

"Kami sangat bangga untuk menjadi tuan rumah kepada kelab penting seperti Boca dan River.

"Kami akan mengalu-alukan kehadiran mereka dalam apa cara sekalipun, termasuk sebagai tuan rumah kepada pertembungan bersejarah mereka," kata Pengarah Sukan Genoa, Stefano Anzalone.

"Ini juga akan menjadi satu lagi peluang untuk menarik perhatian masyarakat antarabangsa terhadap Genoa dalam tempoh sukar ini selain dapat memperbaharui jalinan persahabatan bersejarah yang menyatukan kami dengan mereka."

Satu mesyuarat akan diadakan hari ini untuk menentukan tarikh dan gelanggang baru untuk perlawanan kedua final Copa Libertadores itu nanti.

River menjaringkan dua gol penyamaan dalan pertemuan pertama di Stadium La Bombonera untuk aksi Superclasico pertama itu berakhir seimbang 2-2.