Genap empat tahun dari hari ini, tumpuan dunia akan terarah ke Qatar dengan berlangsungnya apa yang ditakrifkan sebagai “pertunjukan terhebat di planet bumi” – Piala Dunia FIFA 2022.

Kejohanan edisi berkenaan akan berlangsung selama 28 hari dari 21 November hingga 18 Disember 2022, dengan tarikh perlawanan akhir itu bersempena dengan Hari Kebangsaan Qatar.

Dijangkakan 1.5 juta peminat bola sepak dari merata pelosok dunia akan berpusu-pusu ke lapan stadium di negara berkenaan sepanjang temasya itu berlangsung di samping tiga bilion peminat merentasi Asia dan Eropah akan menikmati tontonan perlawanan pada waktu puncak.

Selepas memulakan bidaan pada Mac 2009, Qatar dipilih selaku negara Arab pertama yang akan menganjurkan kejohanan paling berprestij itu.





"Dalam masa empat tahun dari sekarang, 1.5 juta peminat akan turun ke Qatar dari setiap pelosok dunia dan dianggarkan kira-kira tiga bilion lagi akan menonton di kaca televisyen, telefon pintar dan tablet mereka selama tempoh 28 hari.

"Ia akan menjadi satu peristiwa penting bagi pasukan-pasukan bertanding, peminat yang menonton dan seluruh dunia Arab yang selama ini berharap untuk menganjurkan kejohanan sukan terbesar yang paling diminati di dunia itu," kata Setiausaha Agung Jawatankuasa Tertinggi Penyampaian dan Warisan Piala Dunia Qatar, Hassan Al Thawadi.



"Bola sepak berlainan daripada sukan-sukan lain.

"Ia mempunyai kuasa untuk membina jambatan pemahaman di antara sesebuah bangsa dan budaya.

"Melalui projek infrastruktur nasional yang sedang berjalan mengikut jadual, kami akan menjadi pemangkin kepada perubahan positif dalam penganjuran Piala Dunia yang unik dan transformatif buat Qatar, rantau Arab dan seluruh dunia," tambahnya.



Mengulas mengenai Piala Dunia Qatar 2022, Presiden FIFA, Gianni Infantino, berkata kejohanan itu mempunyai potensi besar untuk memecah stereotaip budaya dan membawa penyatuan bangsa melalui bola sepak.

"Piala Dunia amat penting, bukan sahaja untuk Qatar, tetapi buat seluruh rantau Arab yang meminati dan sedia melabur besar dalam bola sepak.

"Piala Dunia merupakan peluang yang unik -- peluang menunjukkan kepada dunia apa yang boleh ditawarkan oleh rantau itu. Bukan sahaja untuk bola sepak tetapi juga buat kesemua yang akan hadir melawat tempat-tempat yang indah, belajar tentang budaya baru dan bertemu dengan orang baru," katanya.


Infantino menambah, Piala Dunia Russia tahun ini telah menetapkan penanda aras yang tinggi dan beliau menjangkakan sambutan hangat dapat dikekalkan di Qatar 2022.

"Terdapat banyak pengajaran yang boleh dipelajari daripada Russia.

"Yang paling utama adalah bagaimana mereka mengalu-alukan pengunjung yang datang -- 1.5 juta orang datang ke Russia untuk menikmati Piala Dunia dan mereka semua dialu-alukan dengan pelbagai cara yang mereka tidak jangkakan.

"Terdapat banyak ketakutan tentang Russia sebelum itu tetapi mereka menganjurkan Piala Dunia yang selamat dan menggembirakan buat pengunjung yang datang.

"Keseluruhan penduduk menyumbang kepada perkara itu dan saya pasti perkara yang sama akan berlaku di Qatar.

"Piala Dunia pada 2022 perlu lebih baik lagi," katanya.


Pada waktu ini, tujuh stadium sedang dalam pembinaan sambil sebuah lagi – Stadium Antarabangsa Khalifa – telah diubahsuai dan diperbesarkan bermula Mei tahun lalu.

Kerja-kerja pembinaan semua stadium berkenaan dijangka siap dua tahun sebelum Piala Dunia bermula.

Keseluruhannya, pembinaan stadium dan kemudahan latihan pasukan-pasukan untuk Piala Dunia 2022 dianggarkan menelan biaya AS$6.5 bilion (RM27 bilion).

Stadium Lusail yang boleh memuatkan 80,000 penonton akan menjadi venue perlawanan pembukaan dan perlawanan akhir.