Gemuruh punca Everton kempunan tiga mata

Oleh Penulis Jemputan 29 September 2017 545
Gemuruh punca Everton kempunan tiga mata
Ronald Koeman percaya anak-anak buahnya terlalu takut untuk mempamerkan aksi sebenar sehingga menyebabkan terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 2-2 menentang Apollon Limassol dalam saingan Kumpulan E, Liga Europa, awal pagi tadi.

The Toffees hampir meraih tiga mata pertama dalam kejohanan selepas Wayne Rooney dan Nikola Vlasic memadam jaringan pendahuluan pelawat menerusi Adrian Corpa, namun Hector Yuste menyamakan kedudukan ketika perlawanan berbaki dua minit.

Everton dilihat seperti tiada hala tuju dan Koeman mengakui pemain-pemainnya masih kurang berkeyakinan.

"Kadang-kala apabila anda terlalu bergelut untuk mempamerkan aksi terbaik, ia menyebabkan anda takut bermain bola sepak.

"Jika ia melibatkan ramai pemain, ia akan menjadi sukar. Kami bermula dengan teruk tanpa sebarang keyakinan sehingga membawa kepada banyak kesilapan," kata Koeman.

"Cabaran kini adalah mendapatkan semula keyakinan pasukan. Anda perlu yakin sejak awal. Gol pertama pelawat memeranjatkan kami.

"Perasaan seri dalam aksi sebegini diibaratkan seperti tewas."

Bagi Rooney, dia berasakan pasukannya berhak untuk menang dalam aksi di Goodison Park.

"Kami dibolosi gol lewat permainan tetapi kami berhak memenangi perlawanan," katanya.

"Jaringan itu amat perit untuk diterima. Kami meraih satu mata tetapi sepatutnya mengutip tiga mata," ujar Rooney.
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen